Menulis Puisi Dengan Hati

(1692 patah kata, 8-minit bacaan)

i
Di luar tanah air, ada banyak buku teori yang dituliskan oleh sarjana mahu pun penyair sendiri tentang bagaimana menulis puisi. Sebanyak buku yang ditulis, dan seramai penyair yang hadir, maka puisi pun terus bercambah dan berkembang. Ada yang bertahun menukangi puisi tanpa jemu menjelajah dari Timur ke Barat untuk mendalami dan mengenal erti sebenar puisi sehingga mereka digelar sebagai penyair. Ada juga yang berdekad menulis puisi, tetapi puisinya tidak pernah menemui khalayak kecuali tersimpan di rak diri dan album peribadi. Ada juga yang berjaya menyiarkan sebuah dua puisi di akhbar dan majalah tanah air, lalu dia sendiri yang menobatkan dirinya sebagai penyair. Di manakah ukuran kepenyairan seseorang penulis puisi? Sarjanakah yang menentukan kedudukan atau tahap pencapaian seseorang penyair? Atau kekuatan dan kelainan karya yang ditampil oleh seseorang penyair itu yang menyebabkan beliau dianggap sebagai penyair yang baik? Dan bagaimanakah pula mengukur bermutu atau tidak bermutunya sesebuah karya puisi yang dihasilnya?

Segala pertanyaan yang diajukan ini, tidak mudah untuk dijawab kerana puisi itu sendiri bersifat subjektif. Apakah sarjana yang mengkaji tentang puisi, tetapi tidak pernah menuis puisi dianggap sebagai kayu ukur untuk menilai bermutu atau tidaknya sebuah atau sekumpulan buku puisi? Atau cukupkah dengan dirinya dianggap sebagai penyair oleh kawan-kawannya, maka dia terus dianggap sebagai penyair? Selebihnya tentulah sejarah yang akan menentukan kedudukan seseorang penyair atau calon penyair itu kekal di persada sastera tanah airnya. Ketahanannya untuk membina monumen dalam sejarah sastera bangsanya dengan karya yang terhasil. Karya itu pula teruji oleh zaman dan terus dikaji dan dibaca.

Puisi adalah ekspresi jiwa dan hati. Puisi juga adalah ukuran tinggi atau rendahnya tamadun sesuatu bangsa. Puisi melembutkan kabu yang menderita, menjernihkan kabut dan kekelaman jiwa raga. Puisi memilki pertalian halus antara perasaan, hati dan fikiran. Kehalusan dan kemulusan puisi adalah juga ekpresi kehalusan hati dan kalbu. Kepolosan dan semrawutnya puisi adalah cerminan betapa polos dan semwarutnya hati nurani.

Hafiz, Rumi, Iqbal bertahun-tahun menulis melakar, menyusun baris dan ayat sehingga membentuk berpuluh jilid buku. Puisi mereka pun mengalir dan melompat dari dekad ke dekad, dari abad ke abad. Jasad penyair pun luput dari alam, tetapi aksara puisinya memberikan ketenangan dan kejernihan setiap salik membuk buku tebal masa lalu dan membaca baris demi baris, ayat demi ayat, rangkap demi rangkap dan buku demi buku sehingglah berakhir pada titiknya yang akhir.

Puisi yang baik dan indah akan berkalung panjang di leher zaman. la akan terus dibaca oleh orang yang terbuka pintu kalbu mereka melihat zamannya. Puisi bukan sepinggan nasi yang boleh mengenyang si lapar yang berhari tidak menyentuh sebutir nasi. Puisi tidak mungkin menggantikan sebuku roti di antara alir darah dengan tembakan mortar di gurun dan padang pasir. Puisi sejarahnya panjang. Terentang. Kebeningannya untuk yang sudi hadir, bersimpuh dan membuka pintu rahsianya. Dan pada waktu yang lain, puisi akan bertukar menjadi gua gelap yang menyembunyikan rahsia demi rahsia yang tak terbacakan oleh kedangkalan akal dan fikir.

Puisi tidak mungkin mengenyangkan fizik yang kelaparan, tetapi puisi akan menyembuhkan seribu satu penyakit yang bertahun bersarang di kolam dan tasik jiwa. Lalu, istimewa sangatkah puisi dan penyair yang menuis bait-baitnya?

lya, istimewa sekali. Istimewa kerana Allah memberikan peringatan melalui satu surah yang khusus di dalam al-Quran. Surah as-Syuaara, iaitu surah khusus yang ditujukan untuk penyair. Jadi menulis puisi adalah kerja mulia.

ii
Saya selalu percaya bahawa pembacaan yang meluas akan menjadikan seseorang penulis itu sentiasa membuka akal fikirannya untuk melihat keajaiban dan segala kemungkaran dunia. Apa-apa yang baik dan amat disenanginya akan dipindahkan ke dalam puisi. Begitu juga dengan kejadian yang buruk dan amat dibencinya, juga akan dipindahkan ke dalam puisi. Penyair selalu berfikir dan bersiap untuk memberikan sesuatu yang terbaik bagi dirinya untuk dikongsikan dengan orang lain.

Walaupun sering diremehkan dengan pelbagai andaian, bahawa menulis puisi itu tidak ke mana, sekadar syok sendiri namun penyair atau sesiapa sahaja yang menerjuni ke dalam juzuk bidang ini tidak mungkin melangkah keluar. Setelah berada di dalamnya, dia berada dalam susuk dunia yang memberinya kebebasan akal dan kebebasan untuk berhujah. Dia bebas memberikan idelogi politiknya atau apa sahaja yang ingin disampaikan melalui sekolah pemikiran yang berada di dalam akalnya.

Dia menjadi pemimpin bagi dirinya. Dia adalah tokoh politik bangsanya walaupun tidak bertanding dalam mana-mana plihanraya untuk memilih calon Dewan Negara atau Ahli Parimen. Dia juga intelektual bagi bangsanya. Maka jadilah dia pemimpin kepada dirinya. Dan bebaslah dia untuk berpolitik dalam bahasa puisinya. Dia bebas juga bebas berhujah dan bersyarah dalam bahasa puisinya.

Segala terangkum dalam jagat bahasa yang menjadi milik peribadi seseorang penyair itu. Hanya kemahiran menggunakan bahasa puitis sahaja yang menjadikan mereka berbeza. Dalam dunia ini ada ribuan puisi ditulis oleh ribuan penyair dengan tema yang sama, tetapi kemampuan berbahasa itulah yang membezakan seseorang penyair dengan penyair yang lain.

Akhirnya kemahiran berbahasalah yang akan menjadikan seseorang penyair itu mendahului temannya yang lain. Bahasanya harus terpilih, baharu dan segar kerana dari situlah akan terbitkan kepuitisan rasa apabila khalayak menghayatinya. Kalaulah kehadirannya dengan bahasa yang polos, kering, klise dan kaku, maka sudah pasti gaya kepenyairannya tidak akan ke mana. Lambat laun dia akan dilupakan oleh zaman dan gagal mencatatkan kehadirannya di dalam peta dan sejarah zamannya.

iii
Dalam kalangan penyair Malaysia, sama ada yang sezaman dengan Usman Awang, dan A. Samad Said, atau yang menyusur mereka seperti Baha Zain, Muhammad Haji Salleh, A. Latiff Mohidin, Kemala, Dharmawijaya, Zurinah Hassan, Zaihasra, Moechtar Awang, atau yang lebih kemudian seperti Zaen Kasturi, Marsli NO, Shamsudin Othman, dan lain-airnya; mereka tetap menulis dalam kitaran permasalahan yang sama dan tema yang sama. Yang membezakan karya para penyair ini adalah dari aspek penggunaan bahasanya. Bahasa dalam puisi A. Latiff Mohidin yang juga seorang pelukis berbeza dengan pemilihan bahasa dalam puisi Muhammad Haji Salleh. Bahasa dalam puisi Baha Zain yang romantis dan sinikal berbeza dengan bahasa dalam puisi Zaen Kasturi yang kata-kata digali dari kamus.

Perbezaan tersebut yang akhirnya akan menjadi identiti dan jatidiri yang membezakan antara Kemala dengan Siti Zainon, antara Zurinah Hassan dengan Zaihasra umpamanya. Umpamanya mari kita baca dan bezakan puisi tentang surat dan poskad yang dituliskan oleh beberapa orang penyair penting Malaysia dan Indonesia. Walaupun temanya sama, tetapi bahasa mereka berbeza,

Anwar Ridhwan menuliskan puisinya “Apa Yang Harus Kutuliskan?” (1985:4);

Pada poskad itu ditulisnya
resah dan sepi di sini
terlambat tibaku di pelabuhan yang tidur
tersaruk-saruk kakiku
mengganggu dengkur pilar dan ruang kelam
di pangkalan teluk gelap
dan kapalku telah berangkat
dua pekan kemudian poskad itu tiba
dibaca kekasihnya
tiba di sini pada malam yang tenang
tunggulah khabar lanjut
dari kota tujuanku

Chicago.

Puisi Anwar Ridhwan ini berbeza dengan puisi Sapardi Djoko Domono, A. Latiff Mohidin, Baha Zain dan Moechtar Awang yang menulis tentang tema dan permasalahan yang sama. Lihat pula bagaimana Sapardi Djoko Damono menuliskan puisinya “Kukirimkan Padamu” (1984: 47);

kukirimkan padamu kartu pos bergambar, isteriku,
par avion: sebuah taman kota rumputan
dan bunga-bunga, bangku dan beberapa
orang tua, burung-burung merpati
dan langit yang entah
batasnya.

Aku, tentu saja, tak ada di antara
mereka. Namun ada.

Lihat pula bagaimana penyair A. Latiff Mohidin menuliskan puisinya yang berjudul “serigala” (1974:24);

kuterima sepucuk surat
tanpa alamat
kuterima sepucuk surat
tanpa kata

dari mukanya
melompat seekor serigala
darah mengalir di kakinya
perut terbuka
mata buta

sekian lama
disiksa
di bawah kata
di bawah tinta

kuala lumpur
1 feb. 67

Penyair Baha Zain menuliskan puisinya “Surat ke Semenanjung dari Benua Jauh” (1991:58-59);

(surat 1)
Daun merah kuning mulai gugur
bertaburan di jendela
epal merah nyalang di pohon
pear ranum tergeletak di tanah
serangga merayap atau berterbangan dalam
cahaya emas sore
angin dingin menyerbu masuk, menderu dan menusuk
seakan sekaliannya sibuk menyesuaikan diri
alam mengajar berwaspada dan bijaksana.

Sayang, kalau malam ini kau bermimpi
mendengar cengkerik berbunyi
itu adalah suara resahku di benua yang jauh.

(surat 2)
Hari ini terkoyak sehelai kertas di kalendar
yang muda sehari lebih tua
yang tua setapak lebih dekat ke pusara
aku tidak bimbang menghadapi kematian
atau bakat yang berkurangan
daun-daun pun lekang di dahan
kupu-kupu pun sementara di cahaya pelita
aku tidak akan berduka
kita para kekasih akan mati
tapi cinta tidak reput di bumi
cinta bukan milik kulit, daging dan tulang
ia kepunyaan ingatan dan kesetiaan.

Sayang, sekiranya malam ini kau bermimpi burung bangau
itu adalah semangatku yang menduga samudera.

(surat 3)
Lelaki tua itu menaburi rumput di pangkal pohon
seakan menyelimuti tanamannya dari dingin mendatang
isterinya berambut perang, memetik buah dari jerih payah
musim panas
manis, katanya, memang bumi mencintai tangan
yang merawatnya
mereka sudah tua dan tahu menghitung waktu
halamannya akan kekal meski berubah wajah
jadi saksi keakraban, kesetiaan bumi dan penghuninya
antaranya daun-daun hancur dan unggas-unggas musnah
apa yang melata berhenti, yang meninggi rebah

Sayang, jika malam ini menjelma seekor arnab
membesarkan mata dan memanjangkan telinganya
itu adalah aku yang belajar memerhati dan mendengar
tingkah dunia.

musim gugur, 1981
Keokuk, Iowa City

Mari pula kita lihat penyair yang lebih kemudian, Moechtar Awang menuliskan puisinya ‘surat i’ (1981: 65);

senja itu
kuterima surat
tanpa nama
tanpa kata

suratkah
yang menjadikan
burung tak jadi terbang
kumbang kehilangan bunga
mawar gugur dari tangkainya

suratkah
yang menjadikan sepi
terkumpul di atas ranjang
lalu menjadi mimpi
di waktu malam hari
tentang
rama kehilangan sita.

Lima buah puisi daripada lima orang penyair terkenal yang menulis tentang poskad dan surat, tetapi kelima-limanya memberikan sudut yang berbeza. Perbezaan itulah yang menjadikan seseorang penyair itu menemukan dirinya sendiri. Meskipun ada perkaitan antara puisi puisi tersebut tetapi adunan bahasanya sama sekali berbeza. Begitulah juga kita yang membaca kelima-lima puisi tersebut mendapat kesan yang berbeza.

iv
Percayalah bakat yang sudah sedia ada pada diri anda itu akan menentukan anda semua akan menjadi bintang berkilau di langit sastera tanah air. Dengan tunduk bersyukur kepada-Nya, saya iringkan doa yang penuh syahdu agar anda semua akan meneruskan mata pena yang telah anda akan di persada sastera tanah air. Amin.

Bacaan:
Anwar Ridhwan, 1985. Tercipta Dari Tanah, Petaling Jaya: Media Intelek Sdn Bhd.
Baha Zain, 1991. Tiga Calatan Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Latiff Mohidin, 1974. Kembara Malam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Moechtar Awang, 1981. Pasrah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sapardi Djoko Damono, 1984. Sihir Hujan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Glosari:

  1. semwarut – kelam-kabut
  2. polos – sangat lurus
  3. salik – seorang penempuh jalan suluk

**Kertas kerja Rahimidin Zahari dibentangkan kepada peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2008. Saya menyalinnya daripada gambar yang diberikan Wardah Puteh.

Published by Karim Mohd

Menulis agar dapat membaca dan vice versa. Kurator di Bilik Penyair.

One thought on “Menulis Puisi Dengan Hati

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan