Nokturna: Catatan Malam

Prakata Nokturna (Penerbitan Kata-Pilar, 2018)

1.

Malam-malam di Cyberjaya menemukan saya dengan kota. Pilar-pilar besi, menara batu, kaca-kaca, lorong kecil pedestrian, tiang-tiang lampu sepanjang jalan dan manusia. Barangkali bagi kebanyakan orang, mereka boleh memilih untuk pergi kepada sepi, tetapi tidak saya – saya telah dipilih oleh sepi.

Di kota, tidak ada laut untuk melepaskan duka. Tiba malam orang-orang kota bertebaran di jalanan, memenuhi kedai-kedai makan, kafe, pusat hiburan dan saya, tentu saja tidak pernah ada di mana-mana. Sebahagian daripada mereka meluangkan masa di rooftop. Saya paling suka suasana merokok di bumbung. Langit kelihatan lebih luas dan lapang berbanding sekadar melihatnya dari jendela. Ya, orang kota tidak ada laut untuk melepaskan duka. Barangkali kerana itu, beberapa minggu lepas di KLCC saya pertama kali melihat manusia begitu takjub mengelilingi sebuah tasik buatan berair pancur.

Kadangkala hujung minggu atau jika tiada kuliah, saya akan ke Putrajaya Sentral memerhatikan orang di stesen atau menaiki bas secara rawak; mengelilingi Putrajaya dengan modal lima puluh sen.

Dalam jarak masa satu tahun, terlalu banyak hal yang berlaku – saya tanpa sedar telah terlalu selesa menyarung sepi.

2.

Sajak-sajak dalam kumpulan ini ditulis sepanjang keberadaan di kampung. Bulan-bulan awal kepulangan, kegalauan perasaan mendesak saya menguncikan diri di dalam kamar sebelum belajar menjadi lebih tenang, pemenung dan perasa.

Dengan menampilkan sepilihan sajak ini, saya telah membuka pintu kamar untuk kalian masuki. Mohon, bacalah rahsia-rahsia saya.

Published by Karim Mohd

Menulis agar dapat membaca dan vice versa. Kurator di Bilik Penyair.

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan