Sebuah Catatan Tentang Sunyi

memutarkan Elephant Gym ft. Kento NAGATSUKA – Quilt

Bukankah satu keanehan, untuk duduk di atas kerusi di tengah kota lumpur ini dengan sebuah speaker di sisi. Tanpa sebuah kereta dan tempikan hon, tanpa kelibat orang lalu lalang seperti selalu. Sebuah pemandangan kota koboi yang sunyi tanpa sheriff & dentangan revolvernya dan gelecak kuda para gipsi. Jariku terletak pada butang main pada radio. Haruskah aku menekannya?

Mimpi ini mengingatkan saya akan jiran kami. Ia sentiasa senyum-senyum sewaktu menyiram pohon pandan dan serai dalam pasu selain sepasu pohon bunga kertas merah. Apa yang membuatkan saya ingat akan lelaki ini ialah, ia menyiram tanamannya pada waktu pagi, menjelang petang dan waktu malam. Di depan pintu rumahnya selalu terpasang sebuah radio, yang memainkan lagu-lagu dari era 50-an ke 80-an. Dari radio itu, berterbangan lagu-lagu dendangan The Beatles, Mariah Carey, Frank Sinatra, jazz yang tak pernah saya dengar dan kemudian diputar pula lagu-lagu Cina (dengan penonjolan suara penyanyi klasik) berentak pop kota.

Barangkali kesunyian seperti sebuah lubang. Kita perlu mengisinya. Ataupun tidak. Ingat kembali pada bapa kita Adam sewaktu diciptakan. Kerana sunyi & sendiri, ia telah meminta Hawa. Dan tuhan telah menfirmankan, manusia dilahirkan berpasang-pasang(saya terbayangkan kasut sewaktu membacanya).

Sekarang, di tengah kota lumpur yang tiba-tiba sunyi ini, akankah jariku menekan butang pada radio dan mengisi kesunyian dengan bunyian?

Jiran saya, adakah dia sunyi? Kita semua dinasibkan sunyi. Demi memenuhi kesunyian, kita cenderung memainkan(/membuat) bunyi-bunyian yang entah kita suka atau tidak. Kesunyian ialah nasib masing-masing. Apakah cukup memenuhkan sunyi dengan bunyi sedangkan sunyi pula lebih lantang dentingannya. Lebih tepat, sunyi ialah sebuah lohong hitam. Semasa bintang ia menerangi, setelah ia mati, ia pun termakam di lantai cakerawala menelan seluruh tubuhnya sendiri, seperti lubang sinki.

Waktu terbeku. Kita akan sering diberi pilihan padahal sunyi adalah nasib yang tidak boleh dielakkan. Jariku tidak sempat menekan apa-apa.

Published by Karim Mohd

Menulis agar dapat membaca dan vice versa. Kurator di Bilik Penyair.

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan