Avilio atau Angelo Lagusa, Namanya

“Aku suka pada mereka yang berani hidup”

Penjaga Malam (Chairil Anwar, 1948)

1.

Avilio;
kau seakan mengerti
nyawa terlalu murah
untuk diletakkan tanda harga
ketika Luce, mama dan papa
mati ditembak empat mafia
kau merasakan tuhan
seakan cuba berjenaka

saat kaubunuh Vanno
pistol masih hangat
berbau belerang
seperti baru sebentar tadi
Corteo pula ditusuk peluru
ke dadanya

unggun api putih
sewaktu kau berkata kepada Nero,
bahawa segalanya cuma sia-sia.
Corteo memanggilmu, “Hei,
kita ketawa sepuas-puasnya,
sampai ketemu di syurga!”

Lawless Heaven di tangan
perlahan-lahan habis diteguk
kau, Angelo Lagusa, terdampar di dasarnya
sebagai orang mabuk

2.

dunia: sebuah kamar
kita Avilio, telah tersesat jauh di dalamnya

kalau papa dan mama masih ada
apakah semua ini bukan nyata? atau katakan saja ini
cuma khayal pencerita. kau cuma tokoh sampingan

malam-malam buta tidak perlu lagi
merangkak antara gelimpangan botol Lawless Heaven
batang-batang sigar tak perlu nyala terbakar
seperti sabda itu: segalanya akan berlalu
tanpa das tembakan dan tumbukan

baiklah. aku tidak akan berkata apa-apa
tapi, hei
petiklah picu revolvermu
biar kudengar selantang mana sunyi itu

3.

selamat jalan.

sebelum picu terakhir ditekan
sebelum peluru terakhir dimuntahkan
ingat pada kata: hidup hanya sementara
senja pun luruh bagai daun kering
langsir malam pun lepas dari gulungan

selamat tinggal.

sebelum perjalanan terakhir bermula
ingat kata pertama: segalanya pun sementara
pistol dalam baju. kilau pada pisau
takdir tak kejam. bir tak memabukkan

hembuslah gelora terakhir. pun akan menyepi
bila tiba subuh nanti.

4.

Corteo, aku fikir
aku sudah serahkan keresahan
kepada tiang-tiang lampu di jalanan
kepada kelam malam kepada tidur panjang
tapi segalanya bagai berulang

seperti malam ini
Luce, mama dan papa datang lagi
bagai hantu: bayangan pucat kaku yang bisu
dan rumah kami malam itu ialah neraka
ialah kuburan tak bertanda
kudengar tiga das tembakan
sebelum mimpiku terbakar terang.
kemudian
segalanya bagai berulang
seolah waktu ternyata
tak dapat memadamkan apa-apa

aku akan duduk sebentar di sini
memungut serpihan mimpi
sementara
potongan demi potongan bayang
pecah sebagai ribuan kelekatu
menghurung keningku

barangkali benar kata Vincent Vanetti:
ingatan tak padam
selagi kita masih bernyala

Published by Karim Mohd

Menulis agar dapat membaca dan vice versa. Kurator di Bilik Penyair.

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan