Serpihan Mimpi

Mimpi sering saja mengembalikan ingatan- pada teman-teman lama dari waktu persekolahan, pada deru pantai pada angin kampung, pada wajah ibu dan desahan suara kakak di ruang tamu, atau batang tubuh kekasih yang jauh tiba-tiba saja terduduk rapat di sebelahmu. Seakan bayangan-bayangan itu telah sedia tiba telah sampai begitu hampir tapi malang, aku tak dapat menyentuhnya. Yang kulihat cuma bayangan demi bayangan, kilasan ingatan demi ingatan.

Setiap selepas mimpikan orang yang ku kenal, aku sentiasa resah memikirkan apa yang mereka buat sekarang? Apakah mereka sihat walafiat? Atau apakah mereka juga teringat padaku seperti aku teringatkan mereka. Sering kuanggap mimpi sebagai bayangan, ingatan juga peringatan atau mungkin amaran. Lalu kemudian aku mendapati aku telah menghubungi mereka lewat Whatsapp bertanya khabar atau sekadar menyatakan rindu.

Dua hari lalu aku bermimpi berada di ruang tamu rumah dengan dinding dipenuhi mentol-mentol lampu kuning dari bawah ke atas. Kakak duduk di kerusi, membebel sesuatu tentang majlis perkahwinanku sementara aku sedang menukar mentol yang bernyala satu per satu. Kepada E kuceritakan, aku suka suasana ruang tamu dalam mimpi ini yang dipenuhi mentol lampu. Tetapi pascamimpi aku cemas memikirkan kakakku dan kecemasan menukar mentol. Minggu ini di studio kerjaku, dua lampu meja rosak. Satu: mentol terbakar, dua: mentol pecah, dan serpihan kecilnya menusuk jari telunjuk. Apakah mimpi sebuah amaran? — Ini cuma soalan dan aku tak perlukan jawapan pun.

E cerita, dia mimpikan pelangi tanpa dua jalur warna kemudian pelangi itu melentur jadi horizontal sebelum mengembang jadi belon dan kempis.

Aku ada satu mimpi tentang pelangi dan aku tak sukakannya meski seolah begitu gembira dalam mimpi:

Langit begitu biru pada suatu hari. Tak ada yang aneh, aku sedang baring sendirian di padang rumputan menyaksikan pelangi sebagai tujuh jalur bayang — monokrom. Kemudian, euforia. Bangun tidur di kamar yang selalu sepi itu, aku fikir, resahnya — pada suatu hari langit begitu biru tapi pelangi begitu luntur.

Kata Gibran, ingatan ialah pertemuan. Saat sunyi begini, rindu pada ibu dan kampung laman, tambah dalam lagi dan ingatan pada E yang jauh makin bernyala juga…

Published by Karim Mohd

Menulis agar dapat membaca dan vice versa. Kurator di Bilik Penyair.

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan